marhaban2u.com

MeMbErs

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Lubang pencuri

Posted by Simplelife | Posted in | Posted on 9:55 AM

View Comments

IPOH: Sekumpulan penjenayah menebuk dinding tiga kedai sebelum memotong peti besi dipercayai menggunakan pemotong besi gas (oxy-gas torches) dan melarikan barangan kemas bernilai RM40,000 dari sebuah kedai emas di Gunung Rapat di sini, awal pagi semalam.

Pengurus kedai berkenaan, Mejar (B) Roslan Zakaria, 51, berkata dia dimaklumkan pekerja yang ternampak tiga lelaki tidak dikenali dan berkelakuan mencurigakan sedang minum di kedai kopi bersebelahan premisnya hingga jam 12 tengah malam, sebelum rompakan berlaku.


“Penjenayah terbabit begitu licik kerana sempat memutuskan wayar penggera keselamatan dalam kedai bagi mengelak perbuatan mereka disedari. “Saya yakin mereka (penjenayah) terlebih dulu meneliti dan memerhati aspek keselamatan dan struktur premis saya sebelum memulakan ‘operasi’ mereka,” katanya.


Katanya, kejadian itu bukan yang pertama kerana dua tahun lalu kedai emas itu pernah mengalami nasib sama sehingga menyebabkannya menanggung kerugian lebih setengah juta ringgit.


“Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pemilik kedai runcit bersebelahan kira-kira jam 7.30 pagi dan bergegas ke kedai dan mendapati semua barang kemas yang dipamer dan disimpan dalam peti besi termasuk barang kemas tempahan pelanggan hilang.

+/- Title of the post link

“Saya tidak menyangka kejadian dua tahun lalu berulang kembali, namun pasrah dengan apa yang berlaku,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, rompakan dipercayai dilakukan lebih daripada dua penjenayah dianggotai kumpulan sindiket berkemahiran tinggi.


“Penjenayah memecah masuk kedai emas terbabit melalui dinding tandas kedai yang ditebuk sebelum turut menebuk lubang peti simpanan premis berkenaan dan melarikan barangan kemas serta wang tunai.


“Siasatan awal di tempat kejadian menemui beberapa sarung tangan dan puntung rokok dipercayai milik suspek dan kami masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Petikan : Harian metro


kasanova tua hati kering

Posted by Simplelife | Posted in | Posted on 9:52 AM

View Comments

KUALA LUMPUR: Seorang juruterbang berusia lewat 50-an didakwa menjadikan karier glamor itu untuk memikat gadis muda sebelum memerangkap mereka menjadi hamba nafsu buasnya.

Bagaimanapun, selepas tembelangnya pecah, lelaki terbabit mengugut akan menyebarkan gambar bogel gadis yang cuba meninggalkannya.


Jika mangsanya berdegil mahu meninggalkannya, dia bukan saja menyebarkan gambar bogel mereka menerusi e-mel dan khidmat pesanan multimedia (MMS) kepada orang ramai, malah kepada majikan dan rakan sekerja gadis terbabit.


Mangsa terbaru, seorang wanita berusia awal 20-an yang bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat swasta di ibu kota.


Menurut sumber, dalam kejadian jam 12 tengah malam baru-baru ini, gadis terbabit yang ketika itu di rumahnya di Teratai Mewah di sini, menerima kiriman MMS daripada ‘kasanova tua’ berkenaan.

+/- Title of the post link

“MMS itu mengandungi gambar bogel mangsa yang tertera tajuk ‘pass to other’ (edar kepada orang lain). Mangsa yang tersentak dengan gambar diterimanya segera menghubungi juruterbang terbabit.


“Mangsa segera mempersoalkan tindakan biadab lelaki terbabit, namun dia terdiam seketika apabila ‘kasanova tua’ itu mengugut akan mengedarkan gambar bogelnya kepada umum.


“Berikutan itu, berlaku pertengkaran selama lebih 20 minit, namun lelaki terbabit bertegas akan menyebarkan gambar berkenaan jika gadis itu enggan meneruskan hubungan gelap mereka,” katanya.


Sumber itu berkata, mangsa merayu berulang kali agar gambar bogelnya tidak diedarkan, namun lelaki terbabit tidak mengendahkannya.


“Pada mulanya, mangsa menyangkakan lelaki terbabit hanya mahu menakutkannya dan tidak akan menyebarkan gambar bogel berkenaan.


“Namun, keesokannya dia yang pergi ke pejabatnya seperti biasa terkejut apabila beberapa rakan sekerja menyindirnya.


“Selepas meminta penjelasan, rakan sekerjanya mendakwa mereka menerima beberapa keping gambar bogelnya menerusi kiriman MMS termasuk e-mel daripada seseorang,” katanya.

Malah, gambar bogel mangsa turut dihantar kepada majikannya menyebabkan kariernya kini terjejas.


Sumber berkata, mangsa yang tertekan sekali lagi menghubungi lelaki terbabit dan mempersoalkan tindakan biadabnya, namun lelaki itu mendakwa akan terus mengaibkannya jika enggan kembali ke pangkuannya.


Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jalan Dang Wangi untuk tindakan lanjut.


Difahamkan, gadis itu bersama dua individu dipercayai ahli keluarganya ‘mengamuk’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, baru-baru ini, kerana mendakwa pihak berkuasa tidak menjalankan siasatan terhadap aduannya.


Malah, mereka mendakwa tindakan itu berlaku disebabkan lelaki terbabit daripada kalangan kerabat diraja.


Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.


“Kami sudah menahan suspek, namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapannya dirakam. Kes disiasat mengikut Seksyen 406, Kanun Keseksaan (KK) kerana ugutan jenayah.


“Berdasarkan siasatan awal, kami yakin suspek bukan kerabat diraja seperti didakwa. Malah, dakwaan kononnya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap suspek adalah tidak benar.


“Walau apapun status dan kedudukannya, polis akan melakukan siasatan jika menerima laporan. Namun, kita ada prosedur yang perlu dipatuhi ketika melakukan siasatan,” katanya.


Sehubungan itu, Zakaria berharap pengadu bersabar dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Petikan : harian metro..